sayangi selangor

sayangi selangor

Di sini lahirnya sebuah cinta...

Isnin, 9 November 2015

Pemimpin DAP Selangor saling bersaing untuk pertahan kuasa. Kempen DAP Selangor Serang PAS, Kerajaan Raih Undi Pemilihan.



Beberapa minggu kebelakangan ini menyaksikan pemimpin-pemimpin DAP Selangor bersaing hebat antara satu sama lain, untuk meningkatkan profil masing-masing dalam usaha menarik perhatian ahli parti di peringkat akar umbi.

Menjelang konvensyen dan pemilihan parti peringkat negeri pada 1 November lalu – calon-calon dengan lantang membangkitkan isu-isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan melancarkan serangan terhadap bekas rakan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang, PAS dengan harapan dapat meraih sokongan perwakilan bagi membantu memenangi pemilihan itu.

Bagi mereka, kemenangan meyakinkan sangat penting, kerana ia bukan sahaja menjamin peluang untuk mendapat jawatan penting dalam kepimpinan parti negeri, malah berpeluang memegang jawatan di agensi-agensi kerajaan negeri dan syarikat-syarikatnya.

Lebih daripada itu, mereka mungkin mendapat ‘tiket’ bertanding pada Pilihan Raya Umum akan datang yang boleh dianggap bonus tambahan. 

Sudah menjadi kelaziman bagi calon-calon mengambil kesempatan daripada isu-isu semasa, dalam usaha mendapatkan momentum sokongan menjelang mana-mana pemilihan parti.

Pemimpin parti atau calon akan lantang menjuarai isu dan polemik semasa, bagi meraih perhatian dan sokongan ahli di peringkat akar umbi.

Masing-masing mahu dilihat sebagai pemimpin tegas dan mengutamakan kepentingan parti. Mereka yang bertegas untuk memenuhi kehendak parti akan lebih mendapat perhatian perwakilan.

Kesemua mereka ingin dilihat sebagai orang kuat parti yang tegar dan meletakkan kepentingan parti melebihi diri sendiri, justeru mereka yang memenuhi harapan parti akan lebih cenderung meraih undi perwakilan.

Hakikatnya, kesemua parti politik memerlukan pemimpin yang boleh bekerja dan bukannya hanya pandai mengeluarkan kenyataan, sekadar untuk menaikkan semangat umum.

Adalah jelas tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mencabar Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy untuk berdebat secara langsung mengenai kedudukan firma milik negara itu, semata-mata helah untuk kepentingan politik, sekali gus memperkukuhkan kedudukan beliau dalam kepimpinan DAP Selangor.

Pua bagaimanapun menarik diri daripada perbahasan tersebut, selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak membenarkan perbahasan diteruskan, memandangkan Pua adalah ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), yang ketika ini sedang menyiasat 1MDB.

Susulan itu, Pakatan Harapan pada Khamis lalu mengumumkan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli sebagai pengganti Pua dalam perbahasan yang dicadangkan itu. 


Pada pemilihan DAP Selangor Ahad lalu, Pua menerima 495 undi dan berada di tempat kelapan dalam perebutan 15 jawatan Jawatankuasa Pusat. Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mendahului dengan 736 undi.

Ironinya, walaupun keputusan pemilihan Pua tidak memberangsangkan, Pua terus dilantik semula sebagai Pengerusi DAP Selangor, manakala Gobind Singh kekal sebagai Timbalan Pengerusinya.

Menjelang pemilihan DAP Selangor, pemimpin parti negeri itu juga dilihat melancarkan serangan terhadap “musuh” mereka, iaitu PAS.

Walaupun ramai mendesak wakil PAS disingkirkan daripada barisan Exco negeri, terdapat pula pihak mencadangkan DAP meletakkan calonnya sendiri bagi kelapan-lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipegang PAS di Selangor, pada pilihan raya akan datang.

Minggu lalu, Pua dilaporkan sebagai berkata, parti itu telah bersedia meletakkan calonnya di kerusi DUN Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Sri Serdang, Meru, Chempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.

Semua isu yang dibangkitkan sekadar untuk menjadikan seseorang pemimpin itu ‘juara’, sekali gus menjadikan kehadiran mereka dirasai dan diberi ganjaran jawatan penting dalam kepimpinan parti negeri.

Jelasnya, ada isu-isu lain yang DAP cuba nafikan, seperti konflik antara PKR dan PAS, serta isu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang masih belum diprakui Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Isu-isu mengenai debat 1MDB, desakan Exco PAS digugurkan dan cadangan bertanding di kawasan-kawasan PAS, hanyalah untuk memperkukuhkan kedudukan pemimpin DAP sedia ada.

Sehubungan itu, tidak hairan apabila pimpinan DAP bermati-matian menonjolkan diri demi mempertahankan kuasa mereka.

Mereka sedar akan kelebihannya mempunyai kuasa di peringkat negeri, maka mereka terpaksa cari idea baru untuk menonjolkan diri dalam usaha memenangi pemilihan tersebut.

Oleh demikian, isu yang mereka tonjolkan sebenarnya tidak ikhlas dan segala tujuan mereka hanya untuk keuntungan politik dan kedudukan individu tertentu, yang jelas merujuk kepada tindakan Pua.

Mengenai persoalan kenapa DAP Selangor perlu membabitkan PAS dalam soal pemilihan barisan kepimpinan parti itu di negeri berkenaan?

Tidak menafikan PAS hanya dijadikan sebagai bahan kempen, Mohd Izani berkata, DAP kini menjadi terlalu angkuh, sehingga melupakan segala sumbangan PAS kepada parti itu.

Mereka mahu menjadikan PAS tidak lagi relevan dalam politik Malaysia. Tetapi, DAP tidak boleh memadamkan sejarah bahawa mereka pernah bekerjasama dengan PAS dan PAS juga telah membuka banyak ruang kepada DAP sepanjang tempoh itu.

PAS dan DAP tidak akan berjaya bekerjasama, memandangkan masing-masing mempunyai nilai-nilai prinsip dan asas berbeza.

DAP akan terus menjadikan PAS sebagai karung tinju dan bahan belasahan mereka.

DAP menganggap penyokong-penyokong PAS sebagai ancaman, kerana pastinya mereka tidak akan mengundi DAP dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Oleh itu, DAP menjadikan PAS sebagai isu dalam pemilihan parti itu, kerana PAS tidak mahu mengikut telunjuk DAP.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan