sayangi selangor

sayangi selangor

Di sini lahirnya sebuah cinta...

Ahad, 16 Disember 2012

Pasang Sistem Pengesan Vesel.


Tanjong Karang 14/12/2012.  Kerajaan merancang untuk mewajibkan semua nelayan Zon B di seluruh negara memasang Sistem Pengesan Vesel (VTS) pada tahun depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, langkah itu adalah salah satu usaha kementerian untuk menyelesaikan masalah pencerobohan nelayan zon tersebut ke kawasan tangkapan nelayan Zon A iaitu melibatkan perairan kurang lima batu nautika dari pantai.

Kata beliau, pihaknya menerima banyak aduan daripada nelayan Zon A di seluruh negara mengenai masalah tersebut kerana pencerobohan nelayan Zon B boleh menjejaskan pendapatan nelayan terbabit.

''Pencerobohan nelayan Zon B turut menyalahi peraturan selain syarat-syarat lesen yang ditetapkan iaitu nelayan bagi zon berkenaan harus menjalankan aktiviti mereka di perairan melebihi lima batu nautika dari pantai.

''Buat masa ini, kita dalam peringkat kajian mendalam untuk mewajibkan pemasangan sistem ini kepada nelayan Zon B," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Agro-Tourism LKIM dan Pasar Nelayan di Kampung Sungai Yu membabitkan kos pembinaan keseluruhan hampir RM1 juta di sini hari ini.

Noh berkata, sebelum ini penguatkuasaan untuk menangani masalah pencerobohan tersebut dilakukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) namun kegiatan tersebut masih berlaku.

''Sebab itu kita merangka untuk mewajibkan sistem pengesan kepada nelayan Zon B. Pada masa sama, kementerian berusaha mendapatkan peruntukan dan kita jangka akan laksanakan sistem itu tahun depan, " katanya.


Terdahulu, Noh yang juga Ali Parlimen Tanjong Karang turut menyampaikan bantuan sara hidup kepada 1,010 orang nelayan di kawasan Kuala Selangor sebanyak RM200 setiap seorang.

Beliau berkata, tahun ini kementerian telah menerima tambahan peruntukan khas sebanyak RM36.5 juta bagi membina 193 buah jeti dan 112 pelantar nelayan di seluruh negara.

Katanya, tambahan peruntukan itu adalah yang kedua diberikan Kerajaan Pusat untuk membantu nelayan di negara ini selepas peruntukan pertama sebanyak RM50 juta disalurkan bagi tujuan yang sama pada 2010.

''Peruntukan ini adalah usaha Kerajaan Pusat untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada golongan nelayan selain meningkatkan hasil pendapatan mereka termasuklah industri perikanan negara," katanya.

Khamis, 13 Disember 2012

Selebat Hujan Turun, Lebat Lagi Air Mata Yahya Saari...


Baru2 ini PKR Tg Karang telah mengadakan program di Kampung Pt Serong Tg Karang, kalau tak silap nama program tu Santai Desa.


Khabarnya iklan juga banyak tersebar di kampung2, termasuklah diumumkan di masjid2 sekitar Dun Permatang bg membolehkan org ramai hadir ke program tsbt. Apa yg menjadi persoalan, jumlah kehadiran memang sangat luarbiasa, janganlah faktor hujan dijadikan alasan...perhatikan gambar2 di bawah...














Dikhabarkan juga ada dikalangan org2  kuat PKR Tg Karang sendiri tlh memboikot program tersebut. Dari satu sumber yg boleh dipercayai pada hari program tersebut org2 PKR Kampung Raja Musa pula, 2 hingga 3 buah bas telah mengadakan program lawatan ke Teluk Batik.

Org2 Kampung Pt Serong pun tak ramai keluar ke program tersebut...

Apa yg sebenarnya terjadi, mengapa org2 kuat PKR Tg Karang memboikot program tersebut...Hanya Yahya Saari sendiri yg tahu...

Selasa, 11 Disember 2012

Kerajaan Belanja RM5.574b Laksana Projek di Selangor.


Kerajaan Pusat membelanjakan RM5.574 bilion melaksanakan 439 projek pembangunan di seluruh Selangor sepanjang 2011 dan tahun ini, sekali gus membuktikan negeri di bawah pembangkang tidak dianaktirikan.

Pengerusi Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata banyak projek pembangunan di Selangor dibiayai peruntukan Kerajaan Pusat, termasuk pembinaan jalan kampung, prasarana dan membina masjid serta surau.

“Jumlah peruntukan dari Pusat jauh mengatasi bajet kerajaan Selangor yang hanya kira-kira RM1.63 bilion,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor bagi 2012 di sini semalam.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Timbalan Pengerusi UMNO Selangor berkata, menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sebanyak 280 projek baru dilaksanakan Jabatan Pembangunan Persekutuan negeri di Selangor membabitkan kos RM2.8 bilion dan 159 projek sambungan menelan RM2.85 bilion.

“Bagi program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam melaksanakan program bandar selamat pula, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM18.05 juta membabitkan 107 projek. Di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula, sebanyak RM32.8 juta disalur untuk elaun imam, guru KAFA, guru takmir dan sebagainya.

Bina 11 masjid

“Menerusi Peruntukan Khas 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebanyak RM64 juta diagihkan untuk pelbagai sektor termasuk membina 11 masjid dan 47 surau. Sejumlah 5,083 orang menerima bantuan sehingga RM10,000 bagi program e-Kasih dan RM5.04 juta untuk bantuan rumah,” katanya.  Katanya, RM2.8 juta diperuntukkan bagi program bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta RM6.3 juta menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membiayai projek pembangunan untuk manfaat 600 keluarga selain peruntukan khusus sebagai insentif petani dan pesawah.

Ahad, 9 Disember 2012

Noh Sedia Perjelas Isu Tender Benih Padi


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar sedia menjawab kenyataan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang mendakwa tiada ketelusan dalam proses tender pembekalan benih padi kementeriannya.

Noh berkata, beliau akan menulis surat kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi meminta tarikh untuk beliau memberi penjelasan mengenai isu itu kepada Abdul Khalid serta semua anggota Exco kerajaan negeri Selangor.

“Saya akan tulis surat. Esok (Isnin) saya akan masuk pejabat, saya akan tulis immediately (segera)... mereka tak perlu tulis surat. Saya yang akan tulis surat terus saya nak berjumpa (untuk) memberi penerangan (hal) ini kepada semua ADUN di Selangor," katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini semalam.

Beliau berkata, tempoh sebulan akan diberi kepada Abdul Khalid untuk menjawab suratnya.

"Saya mohon kerajaan negeri untuk menerima kedatangan saya. Saya akan pergi ke mana-mana di Selangor untuk menjelaskan isu itu dan jika kerajaan negeri hanya berdiam diri elok sekiranya Khalid (Menteri Besar Selangor) meletak jawatan," kata Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang.

Baru-baru ini, ADUN Sekinchan, Ng Sue Lim mendakwa tender benih padi negara bernilai RM164.8 juta diserahkan kepada beberapa pembekal yang tidak memenuhi kriteria dan mempunyai kaitan dengan individu tertentu dalam UMNO.

Bagaimanapun, Noh menafikan dakwaan itu dengan memperjelaskan bahawa mulai tahun ini, pembekalan benih padi dilakukan secara tender terbuka yang diiklankan dalam akhbar.
Beliau berkata, setiap permohonan dinilai tiga jawatankuasa kementerian bagi memastikan hanya syarikat memenuhi kriteria dan mampu membekalkan benih padi berkualiti dianugerahkan tender.

Rabu, 5 Disember 2012

Agong Tamatkan Lawatan Negara ke Indonesia Dengan Kejayaan.


JAKARTA: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah menamatkan lawatan negara empat hari ke Indonesia pada Khamis dengan jayanya dalam misi merapatkan lagi persahabatan dan hubungan kerjasama dua hala Malaysia-Indonesia.

Pasangan Diraja dari Malaysia itu berangkat meninggalkan Jakarta dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma pagi ini dengan diiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, yang bertindak selaku Menteri Pengiring dari Malaysia.

Menteri Sosial Indonesia, Dr Salim Segaf Al Jufri, yang juga Menteri Pengiring dari Indonesia dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan adalah antara mereka yang mengiring baginda berdua di lapangan terbang itu.

"Saya lihat usaha mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara ini satu kejayaan. Perjumpaan antara Yang di-Pertuan Agong dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah berlangsung dengan begitu mesra sekali," kata Noh.

Penekanan sekarang ialah kemesraan hubungan di peringkat pemimpin kerajaan Malaysia dan Indonesia ini dapat disusul di semua peringkat lain dalam hubungan dua hala sampai ke peringkat rakyat di kedua-dua negara, katanya.

Noh berkata, Presiden Yudhoyono menegaskan bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia perlu terus dipertingkatkan kerana kedua-duanya adalah negara bangsa serumpun yang tidak boleh dipisahkan.

Salah satu cara meningkatkan lagi hubungan peringkat rakyat ialah melalui peranan 'duta-duta kecil' dalam kalangan pelajar.
Ketika ini, katanya, ada sejumlah 6,000 pelajar Malaysia menuntut di Indonesia dan 14,000 pelajar Indonesia sedang belajar di Malaysia.

Selasa, 4 Disember 2012

MAHA 2012 berjaya lepas sasaran jualan

Raja Nazrin bersama isterinya Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim melawat gerai labu sayong di Pavillion Rumah Perak pada pameran MAHA 2012, di MAEP Serdang.


Serdang: Pameran Antarabangsa, Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2012, berjaya melepasi sasaran transaksi jualan lebih RM24.1 juta dan menarik kira-kira 3.1 juta pelawat. 

Jumlah itu direkodkan sepanjang 10 hari penganjurannya yang berakhir semalam di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata penganjuran ekspo pertanian terbesar itu turut mencatatkan pemadanan penjualan bernilai RM157.9 juta berbanding RM152.2 juta pada MAHA 2010, pertanyaan perniagaan (RM209,200 berbanding RM184,331) dan tambahan pameran antarabangsa (25 negara berbanding 22 negara)

“Kami meletakkan sasaran tiga juta pengunjung pada tahun ini, tetapi sehingga jam 1 tengah hari (semalam) angka meningkat kepada 3.1 juta,” katanya pada sidang media penutup pameran itu, semalam.

Pada majlis yang sama, Noh turut melancarkan Alumni MyAgro Challenge bertujuan mempromosikan produk pertanian dan agropelancongan menarik untuk diketengahkan kepada pelancong.

Penganjuran MAHA 2012 turut melakar sejarah dalam Malaysia Book of Records menerusi penganugerahan pengunjung terbanyak dalam pameran pertanian, hortikultur dan agropelancongan.
Sementara itu, pengunjung dari Nibong Tebal, Anas Izzudin Mohd Taufek, diisytiharkan pengunjung ketiga juta pameran itu semalam sekali gus menerima hadiah motosikal, iPad, 40 kampit beras serta hamper makanan.

Dalam perkembangan lain, Noh juga berkata kementerian bercadang menaikkan kadar pinjaman mikro kredit daripada RM50,000 kepada RM100,000.

“Saya tidak pasti sama ada pengumuman dibuat di Perhimpunan Agung UMNO kelmarin hanya untuk Tabung Amanah Ikhtiar atau untuk keseluruhan pinjaman mikro kredit,” katanya.

Isnin, 3 Disember 2012

Noh Cabar Pembangkang Debat

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar mencabar pembangkang berdebat dengan beliau berhubung isu tender agihan kuota benih padi sah yang kini dijadikan modal politik pembangkang.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Selangor berkata, beliau bersedia berdebat pada bila-bila masa dengan wakil pembangkang bagi menjawab isu itu dengan adil dan bermaruah.


"Ini isu lapuk yang sengaja diulang pembangkang dengan harapan rakyat akan percaya. Oleh kerana kes ini di bawah kementerian dan saya anak jati Selangor, saya mencabar Menteri Besar, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor untuk berhadapan.

"Jangan hanya berani berkokok di gelanggang sendiri, saya akan datang ke Selangor di mana-mana juga. Menteri Besar tetapkan tarikh di bulan Januari, tempat dan masa, insya-Allah saya akan datang dan jangan lari," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penutup Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2012 serta Hari Penternak, Peladang, dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2012 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 
Serdang, dekat sini hari ini.

Jumaat lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim mendakwa wujud penyelewengan dan monopoli oleh syarikat kroni UMNO dalam proses pemberian tender agihan benih padi dan membuat usul mendesak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menubuhkan jawatankuasa khas menyemak semula keputusan tawaran tender bernilai RM164.8 juta bagi tempoh dua tahun iaitu pada 2013 dan 2014.

Menurut Noh, kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak sepatutnya mempolitikkan isu tender agihan kuota benih padi sah di negeri itu kerana sudah diperjelaskan secara terperinci dalam sidang Dewan Rakyat Oktober lalu.

Tambah beliau, tindakan pembangkang membangkitkan semula isu itu juga hanya bertujuan mencemar imej beliau dan memburuk-burukkan BN menerusi fitnah tidak berasas.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Noh berkata, pihaknya turut bercadang meningkatkan had pinjaman mikro kredit di bawah kementeriannya iaitu daripada maksimum RM50,000 kepada sebanyak RM100,000.

Menurutnya, perkara itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menaikkan had pinjaman untuk peniaga kecil di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) membabitkan jumlah sama.

"Had pinjaman mikro kredit itu adalah pinjaman melibatkan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Agrobank," katanya.