sayangi selangor

sayangi selangor

Di sini lahirnya sebuah cinta...

Jumaat, 10 Mei 2013

Cina Terus Tolak BN, Tumpu Kepada Pembangkang?...





Kehadiran lebih 80 peratus masyarakat Cina dalam perhimpunan pakatan pembangkang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya tempoh hari mencetus persoalan apakah benar masyarakat berkenaan menolak terus kerajaan Barisan Nasional (BN).

Selepas memberi undi kepada DAP dan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kaum Cina sekali lagi memperlihatkan solidariti antara mereka apabila menyertai perhimpunan tersebut bagi menyatakan sokongan kepada pakatan itu.

Malah, pelbagai kain rentang yang memperlihatkan kebencian kepada BN dibawa oleh masyarakat Cina dalam perhimpunan itu selain turut melaungkan pelbagai provokasi antaranya 'ubah' dan 'reformasi' walaupun sebelum ini kaum Tionghua diketahui tidak berminat dengan perhimpunan sedemikian.

Menurutnya, mesej tersebut jelas memperlihatkan orang Cina yang menikmati segala kesenangan hasil dasar diperkenalkan BN sejak merdeka, kini sudah beralih arah kepada pembangkang demi memiliki kuasa politik.

Isyarat serta pendirian politik yang ditunjukkan masyarakat Cina pada hari pengundian Ahad lalu serta pada perhimpunan malam beberapa hari lepas sangat tidak baik untuk perpaduan nasional kerana golongan berkenaan kini sarat dengan sentimen perkauman, iaitu menolak pemerintah Melayu.

Permainan politik yang dipilih masyarakat Cina ini sangat berbahaya. Mereka melihat kepada kuasa politik selepas sekian lama menguasai ekonomi sehingga sanggup membiarkan pemikiran diresapi sentimen perkauman melampau yang ditiup DAP sehingga menolak konsep sederhana yang diperjuangkan BN.

Kepada seluruh pemimpin Melayu dalam Pas mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR), ketepikan sikap ego, bersatulah dengan UMNO. Jangan kita biar perpecahan ini dimanipulasi golongan cauvinis DAP.

Lebih 80 peratus masyarakat Cina membanjiri Stadium MBPJ di Kelana Jaya dalam perhimpunan yang diadakan selang empat hari selepas PRU-13 bagi menyuarakan bantahan terhadap sistem pilihan raya negara ini yang didakwa pembangkang kononnya tidak telus.

Orang Melayu perlu membuka mata serta minda mereka untuk menilai kesan daripada gerakan terancang DAP bersama masyarakat Cina jika tidak mahu kemakmuran yang dinikmati sejak sekian lama musnah.

Jika pemimpin serta parti politik Melayu masih lagi terperangkap dengan polemik perjuangan peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga sanggup menggadai bangsa, agama dan negara, tidak mustahil perancangan licik DAP untuk menggulingkan pemerintahan BN akan tercapai pada masa depan.

Memang masyarakat Cina sudah menolak BN dalam pilihan raya umum kali ini dan fakta tersebut jelas dengan bukti dalam bentuk statistik undi. Pengundian berasaskan polarisasi kaum ini sangat bahaya ibarat sengaja mencurah minyak ke dalam api, apatah lagi kemudian diiring dengan perhimpunan.

Khamis, 9 Mei 2013

Demi ‘Survival’ Politik Cina?




 

DI saluran undi Pasir Penambang dalam kawasan Dewan Undangan (DUN) Negeri Permatang,
Tanjong Karang sudah dibuat segala pembangunan untuk masyarakat Cina di situ.

Sebutlah apa sahaja. Nak jeti, diberi jeti baru. Nak dinaik taraf pasar dan agihan peruntukan sara hidup nelayan, pun sudah diberikan. Bukan ratusan ribu dibelanjakan, tetapi puluhan juta ringgit.

Namun semalam, masih lagi calon Barisan Nasional (BN), Sulaiman Abdul Razak gagal meraih sokongan kali kedua selepas 2008 di saluran Pasir Penambang. Bagaimanapun Sulaiman bersyukur kerana dengan bantuan pengundi Melayu di saluran-saluran lain, beliau masih berjaya mengekalkan DUN Permatang. Malah, dengan majoriti yang meningkat lagi, 1,026 berbanding 608 undi sebelumnya.

Pasir Penambang, antara contoh paling klasik yang mana pengundi Cina yang sudah diberikan segala kemudahan dan wang ringgit, masih tetap sepakat menyokong pakatan pembangkang. Dengan kata lain, mengundi PKR tetapi untuk DAP.

Jika dulu BN di Selangor cuma menang 20 daripada 56 kerusi, kali ini dalam PRU-13 lebih teruk lagi. BN cuma sekadar meraih 12 kerusi DUN , kurang lapan lagi kerusi berbanding 44 pembangkang.

Apa pun kita wajar bercakap benar meskipun pahit untuk ditelan. Realiti tetap realiti. Marilah kita singkap mengapa pengundi Cina menolak BN di seluruh negara, termasuklah Selangor. MCA, kalau diperhatikan, parti itu hakikatnya telah menjalankan peranannya untuk menjamin survival ekonomi kaum Cina sejak merdeka sehingga sekarang. Dalam formula pembahagian kuasa dalam BN, sektor ekonomi juga dibahagikan berasaskan kaum.

Untuk suatu jangka masa, formula itu seakan-akan berhasil. Namun, wujud kegusaran bahawa apa yang telah diperoleh dalam bentuk habuan ekonomi masih tidak mencukupi. Dan kaum Cina memerlukan lebih daripada itu.

MCA, yang kemudian disusuli parti Gerakan, diuar-uarkan oleh pesaing mereka, DAP seolah-olah terlalu tunduk kepada UMNO lalu menjadi satu limitasi kepada kaum Cina.

Hal ini membawa satu kebangkitan pembangkang pada 2008, yang waktu itu dilabelkan sebagai kebangkitan rakyat’. Tetapi sebenarnya apa yang disebut sebagai ‘tsunami Cina’ telah pun berlaku ketika itu.

Ini apabila banyak kerusi yang apabila dicampur undinya, baharulah menyaksikan kerusi-kerusi Melayu mencatat kelebihan undi tipis di Pulau Pinang lima tahun lalu. Itu setelah dibantu oleh undi masyarakat India selepas undi penyokong MCA dan Gerakan beralih untuk satu Cina’ DAP.

Pada masa sama dalam lima tahun ini, pakatan pembangkang dikatakan kelihatan lebih terbuka dalam kalangan orang Cina. Dan lebih banyak hal yang masih boleh dirundingkan.
Justeru, dapat dilihat bagaimana dalam pilihan raya umum lepas, undi orang Cina lebih berpihak kepada DAP, yang mana MCA cuma menang 19 daripada 40 kerusi Parlimen, kebanyakannya tewas kepada DAP.

Kemudian, kerajaan BN seakan-akan lebih berlembut dengan MCA dan tunduk kepada gesaan MCA demi mendapatkan kembali undi kaum Cina. Keputusan PRU 2008 juga menjadikan MCA bergolak hebat, yang kemudian membawa kepada pemilihan 2008, EGM 2009 dan pemilihan semula pada 

Mac 2010 - yang menyaksikan bagaimana Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mampu memenangi kerusi Presiden dalam MCA. Ini selepas beliau sebelumnya meletak semua jawatan setelah skandalnya terbongkar pada Januari 2008.

Dan realitinya yang tidak dapat kita nafikan, pucuk pimpinan parti-parti politik Cina bukanlah kuasa atau penentu dalam menarik sokongan Cina. Atau dengan kata lain - berpengaruh.

Sebaliknya, ia terletak dalam tangan persatuan-persatuan Cina, yang sebenarnya berupaya menentukan jatuh bangun pucuk pimpinan parti terbabit. Kita tidak tahu kemungkinan Soi Lek sengaja’ diberi kemenangan menerajui MCA tempoh hari, yang kemudian akhirnya melemahkan parti itu sendiri, sekali gus BN?

Dan kalau kita perhatikan, parti-parti politik Cina kelihatan dimanipulasi untuk kepentingan kaum itu secara keseluruhannya.

Misalnya apabila DAP melaung-laungkan sesuatu tuntutan sebagai parti pembangkang, tidak lama kemudian MCA dan Gerakan akan menjadikan tuntutan DAP sebagai satu alasan untuk berunding dengan UMNO dalam BN. Seolah-olah, sekiranya perkara serupa tidak diberi kepada MCA, maka undi Cina akan berpihak kepada pembangkang.

Hal sama terjadi apabila MCA cuma menghenyak’ pakatan (penyokong DAP) dengan cuba menakut-nakutkan orang Cina dengan hudud. Maka, DAP akan menjadikannya sebagai buah tangan‘nya - kalau Pas tak buang hudud daripada ideologinya atau manifesto, undi Cina tidak akan diperoleh pakatan.

Dalam kedua-dua keadaan, kaum Cina secara umumnya mendapat habuan. Dan pada masa sama sedikit demi sedikit menggadaikan kepentingan kaum lain termasuk menjadikan hanya kaum itu sahaja dominan’, misalnya untuk perjuangan pendidikan Cina .

Ini dapat diperhatikan dalam pelbagai isu yang lepas atau sedang berlaku. Misalnya isu meritokrasi, penaiktarafan IPTS kepada universiti, Bible dalam bahasa Melayu, liberalisasi ekonomi dalam beberapa sektor dan beberapa lagi.

Di sana dalam masyarakat Cina, kita akan temui merata persatuan Cina, dewan-dewan perniagaan dan NGO-NGO mereka. Mereka kumpulan profesional dan pertubuhan berasaskan industri tertentu. Juga, adalah kumpulan berasaskan dialek dan suku kaum.

Persatuan dan pertubuhan inilah yang menentukan hala tuju politik kaum Cina. Barangkali dalam PRU-13, mereka telah menetapkan calon dan parti mana yang harus disokong oleh orang Cina.

Orang Melayu sepatutnya belajar daripada politik orang Cina. Orang Cina tidak mengambil kira parti apa pun atau ideologi mana pun. Yang utama kepentingan mereka terjaga.

Orang Cina Malaysia lebih celik politik. Mereka menjadikan politik sebagai salah satu jalan ke arah memastikan survival bangsa Cina di negara ini.

Sebilangan orang Melayu barangkali beriman’ dengan satu-satu parti. Dan kalau ‘menukar parti’ boleh diibaratkan sehingga sampai ke tahap ‘jatuh talak isteri’, murtad dan korban neraka.

Sedangkan masyarakat Cina cuma menjadikan politik salah satu wadah atau alat dalam memperjuangkan survival mereka. Orang Melayu perlu cerdik menilai masa depan - dalam lima tahun mendatang.

Jangan menang sorak, kampung tergadai.