sayangi selangor

sayangi selangor

Di sini lahirnya sebuah cinta...

Khamis, 29 November 2012

Jangan Gadai Bangsa dan Negara.

 
Najib Tun Razak menaikkan bendera UMNO, Sang Saka Bangsa sambil diiringi nyanyian lagu parti Bersatu, Bersetia, Berkhidmat sebagai tanda bermulanya Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja, Datuk Ab. Rauf Yusoh.



KUALA LUMPUR 29 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukan satu pilihan raya biasa kerana akan menjadi titik penentu kepada destini rakyat yang mencorakkan rupa wajah Malaysia hari esok.

Menegaskan perkara itu dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO hari ini, Perdana Menteri berkata, kerana itu sebarang uji kaji untuk menukar kerajaan tanpa dibuat penilaian yang betul, teliti dan kritikal ibarat mengamanahkan ‘tikus membaiki labu’ atau mempercayai ‘serigala menjaga biri-biri’.


Beliau turut menarik perhatian mengenai pendapat yang mengatakan tidak ada salah memberi peluang kepada pembangkang bagi dinilai kemampuan dan keupayaan mereka mengurus negara dan rakyat. 

“Namun, ini adalah satu risiko yang amat tinggi kerana masa depan negara, keluarga dan anak-anak kita terlalu berharga untuk dijadikan bahan uji kaji.

“Pilihan raya inilah yang akan mencorakkan rupa wajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak kita. 

“Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama atau Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis," kata beliau dalam ucapan lebih sejam bertemakan Kepemimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional pada 
 Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengingatkan bahawa kejayaan calon dalam pilihan raya kontemporari itu akan bergantung kepada penerimaan mereka yang hendak diwakili. 

“ Jika dahulu, siapa pun yang diketengahkan oleh parti, merupakan calon boleh menang. Hakikatnya tidak lagi begitu.

“ Calon boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi nilai tambah, yakni, bukan sahaja sekadar diterima oleh lingkungan parti, malah hendaklah juga disenangi oleh masyarakat setempat sebagai pengundi.

“ Lebih daripada itu, boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan sukarela serta masyarakat madani kerana merekalah sebetulnya para pengundi," kata beliau.

Justeru, kata Najib, beliau selaku Presiden UMNO bersama Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta seluruh saf kepimpinan parti berikrar untuk terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, memartabat rumpun Melayu, menjadi benteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam.

Kata beliau: “Walau apa pun rintangan yang melanda, biar apa pun cabaran menghalang, UMNO tidak akan berpulang walau setapak, UMNO tidak mungkin berpatah jalan.

“ UMNO takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam.

“ Kita percaya, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik dan kita yakin bahawa UMNO dan Barisan Nasionallah yang mampu untuk menawarkan yang terbaik untuk rakyat Malaysia."

Selasa, 27 November 2012

Anwar Dan Israel.



 
Di mana Anwar Ibrahim ketika umat Islam negara ini mengadakan demonstrasi secara aman bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza baru-baru ini? 


ANWAR telah menyatakan dalam The Wall Street Journal yang berbunyi, "I support all efforts to protect the security of the state of Israel" ("Saya sokong semua usaha untuk melindungi keselamatan Negara Israel.")


Sejak Israel didirikan di atas wilayah milik orang Palestin, Israel menjelaskan dan mempertahankan segala tindakannya ke atas rakyat Palestin dan wilayah Palestin sebagai usaha untuk melindungi keselamatan Israel.

Antara tindakan Israel yang didakwa olehnya sebagai melindungi, mempertahan dan menyelamatkan Israel ialah:

* Membunuh beramai-ramai Arab Palestin seperti di Deir Yassin supaya Arab Palestin keluar dari wilayah yang dihadiah oleh British kepada Zionis untuk menjadi negara mereka.

* Tidak membenar orang Palestin yang dihalau keluar ini kembali ke wilayah yang dikuasai Israel.

* Menembak dan membunuh penyertaan intifada yang membaling batu, termasuk kanak-kanak.

* Memperluaskan wilayah Israel melalui serangan ketenteraan.

* Membina beratus settlement (penempatan) Yahudi di atas wilayah Palestin.

* Membekal pemastautin Yahudi dalam settlement ini dengan senjata untuk mempertahan settlement.

* Mengadakan beratus road block untuk menghalang perjalanan orang Palestin dalam kawasan orang Palestin.

* Melambatkan proses membenar rakyat Palestin berjalan sehingga yang sakit tidak sempat ke hospital dan yang mengandung melahirkan anak di road block. Anak kerap mati dan ibu berdarah sehingga meninggal dunia.

* Membedil kawasan Palestin tanpa sebab supaya Arab Palestin tinggalkan wilayah mereka dan Palestin, kemudian dimiliki sepenuhnya oleh Israel.

* Menembak roket untuk membunuh seorang pesakit di atas kerusi roda dan seorang pemimpin Hamas di Gaza.

* Mengepung kem pelarian Shatilla di Lebanon dan mengarah tentera selatan Lebanon yang terdiri daripada orang Kristian untuk membunuh 2,500 pelarian Palestin. Satu daripada pelarian Palestin yang terselamat menceritakan kepada Suruhanjaya Pengadilan Palestin yang diadakan di Kuala Lumpur pada 21 November 2012 bagaimana askar memasukkan semua ahli keluarganya ke dalam rumah, kemudian mengarah orang lelaki keluar dan berdiri menghadap dinding rumah dan mereka ditembak mati, termasuk bapanya dan suaminya. 28 ahli keluarganya ditembak mati sebegini.

* Menghancurkan kampung Jenin dengan serangan bersenjata dan jentolak untuk robohkan rumah dengan penduduk masih berada di dalam.

* Membedil dan menyerang Genting Gaza sehingga musnah hospital dan sekolah pada 2006. Seorang wanita Amerika yang menghalang jentolak daripada memusnahkan sebuah rumah, dilanggar dan digelek hingga mati wanita berkenaan. Mahkamah Israel mendapati askar yang memandu jentolak itu tidak bersalah.

* Menyekat kapal-kapal yang membawa ubat, makanan dan bahan binaan daripada menghampiri Gaza. Dua kapal milik Perdana Global Peace Foundation dan sebuah kapal Turki diserang di perairan antarabangsa. Sembilan orang pekerja amal Turki yang berada di atas kapal Mavi Marmara ditembak mati.

* Sekatan ke atas Gaza dikenakan sehingga sekarang walaupun ia haram dari segi undang-undang antarabangsa.

* Baru-baru ini Israel melancar roket untuk membunuh seorang ketua Hamas. Apabila Gaza melancar serangan balas dengan roket, Israel membalas dengan melancar roket dan bom ke atas Gaza. Seramai 160 orang terbunuh kerana tindakan Israel.
Semua ini dan keganasan lain lagi didakwa oleh Kerajaan Israel adalah untuk keselamatan (sekuriti) Israel.

Semua ini, mengikut Anwar Ibrahim disokong olehnya kerana semua ini adalah "efforts to protect the security of Israel" (usaha untuk melindungi keselamatan Israel).

Apa lagi bukti yang dikehendaki oleh ahli Parti Keadilan Rakyat dan Pas untuk tidak mempercayai yang Anwar Ibrahim adalah penyokong Israel.

Menyokong Anwar samalah dengan menyokong Israel. Orang ini berlagak sebagai pejuang Islam untuk sokongan penyokong Pas.

Tetapi untuk menjadi Perdana Menteri, menyertai UMNO dan mengutuk Pas. Kemudian apabila digugur oleh UMNO, menyokong Pas semula.

Orang yang mudah melompat dari parti ke parti, tidak sukar lompat dari Palestin ke Israel, dari Islam ke Yahudi.
 

Semua Jentera UMNO Dituntut Kerja Keras.



 Sebahagian perwakilan mendengar dengan tekun pada Majlis Taklimat Presiden sempena 
                                                   Perhimpunan Agung UMNO 2012 di PWTC, semalam


KUALA LUMPUR 27 Nov. - Seluruh jentera UMNO diminta mengambil motivasi daripada lapan kemenangan dalam pilihan raya kecil terakhir untuk bekerja lebih kuat bagi meraih sekuat mungkin sokongan rakyat supaya kemenangan dua pertiga berada dalam genggaman Barisan Nasional (BN).

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, perkara itu ditekankan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa beliau menyampaikan taklimat kepada para perwakilan UMNO sempena perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Katanya, kemenangan selepas beliau mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan negara itu jelas membuktikan rakyat kembali memihak kepada BN dan momentum itu seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh seluruh jentera parti bagi memastikan kerajaan kembali memerintah dengan lebih kuat.

"Secara keseluruhannya Presiden mahu semua pihak bekerja lebih keras dan tidak hanya mula bekerja selepas Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan kerana jika pendekatan sama dibuat, sukar untuk kita mencapai sasaran. Beliau mahu semua jentera berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya.

"Ini kerana rekod kemenangan dalam lapan pilihan raya kecil lalu jelas membuktikan UMNO kekal relevan dan mendapat kepercayaan rakyat untuk terus menjadi parti tunjang kepada pemerintah BN. Ini juga bukti kita boleh menang jika semua jentera bergerak, bersatu dan bersungguh-sungguh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, semua jentera parti juga tidak boleh sesekali meminggirkan pengundi daripada kaum lain berikutan ahli UMNO hanya berjumlah 3.2 juta berbanding keseluruhan 13 juta pengundi serta mengingatkan seluruh perwakilan bersatu di bawah pucuk pimpinan dan tidak melakukan sebarang perbuatan sabotaj yang hanya merugikan parti.

"Beliau turut menekankan soal muka-muka baharu dan meminta mereka yang sudah lama menjadi calon memberi laluan kepada pemimpin muda supaya kesinambungan legasi kepimpinan UMNO sentiasa berterusan untuk terus memimpin negara ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Presiden mengarahkan pemimpin dan ahli UMNO mempertingkatkan persiapan ke tahap optimum dalam menghadapi pilihan raya umum dengan mendekati pengundi secara bersepadu menerusi kaedah 'menyerang' bagi memastikan BN kekal mentadbir negara.

Katanya, Najib mahu semua ahli UMNO lebih agresif berdepan pengundi dengan meyakinkan mereka perjuangan BN adalah jauh lebih baik daripada pembangkang.

"Antara ayat yang ditegaskan beliau ialah untuk pertahankan kedudukan di peringkat nasional kita perlu 'serang' iaitu berjumpa dengan rakyat dan meyakinkan mereka visi serta hala tuju kita lebih baik daripada pembangkang," katanya selepas menghadiri Majlis Taklimat Presiden UMNO itu.

Menurut Khairy, ahli parti juga diingatkan mempunyai semangat tinggi, tidak sabotaj dan menerima keputusan pucuk kepimpinan dalam menentukan calon pilihan raya umum akan datang dengan terbuka.

Ditanya apakah Najib memberi gambaran bilakah pilihan raya umum akan datang bakal diadakan, Khairy hanya mengangkat bahu sambil tersenyum tanpa menjawab soalan itu.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula berkata, isu sabotaj menjadi peringatan utama Najib memandangkan tindakan tersebut paling hebat pernah berlaku terhadap parti ketika menghadapi pilihan raya umum lalu.

Jelasnya, tindakan ahli-ahli mensabotaj rakan-rakan terutama mereka yang tercalon dalam pilihan raya meletakkan UMNO dan BN dalam bahaya.

Khamis, 22 November 2012

Kerajaan Negeri Jangan Cuba Halang Bantuan...Sasar Pendapatan Pesawah RM3000 Menjelang 2020.


Kuala Selangor: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggesa kerajaan negeri tidak lagi menghalang sebarang projek pengairan atau bantuan aktiviti pertanian di negeri ini kerana perkara itu melibatkan kepentingan petani dan pesawah.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, kerajaan negeri sebelum ini banyak menghalang bantuan yang disalurkan kepada golongan petani di Selangor.

Beliau berkata, ini termasuk projek pembinaan kolam takungan air untuk pesawah di Sungai Haji Dorani dan projek mendalamkan terusan utama serta membersihkan Sungai Tengi di Kuala Selangor bagi menangani masalah kekurangan air pada masa depan

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga menyasarkan peningkatan purata pendapatan pesawah sehingga RM3,000 sebulan menjelang 2020.

Jumlah itu boleh dicapai menerusi pendekatan diambil pengurusan Kawasan Pembangunan Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor.

Datuk Seri Noh Omar, berkata setakat ini IADA Barat Laut Selangor berjaya mencapai unjuran yang disasarkan apabila petani di Sabak Bernam dan Kuala Selangor sudah ada yang memperoleh pendapatan bulanan lebih RM2,000.

Beliau berkata kebanyakan purata pendapatan pesawah berjaya ditingkatkan sebanyak RM25,000 setahun dan mereka digalakkan untuk menjalankan aktiviti pertanian sampingan bagi menambah pendapatan sedia ada.

Kita akan pastikan pendapatan pesawah sekurang-kurang RM3,000 sebulan menjelang 2020. Sebelum ini 67 peratus petani hanya berpendapatan (bulanan) RM238 iaitu di bawah paras kemiskinan, namun selepas IADA ditubuhkan pada 1976, pendapatan mereka terus meningkat.

Saya bangga pendapatan pesawah secara purata kini mencecah RM2,000 sebulan dan tidak mustahil akan mencapai sasaran RM3,000 sebulan dengan bantuan insentif serta subsidi yang disalurkan Kerajaan Persekutuan secara berterusan, katanya.

Ahad, 18 November 2012

Motif jual syer dipersoal...Khalid diminta jelas isu saham Worldwide Holdings.


Selepas dibelenggu kontroversi cadangan lima aset Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didesak menjelaskan satu lagi urusan membabitkan jutaan ringgit. Kali ini Menteri Besar Selangor itu diminta memberi penjelasan mengenai cadangan penjualan saham anak syarikat PKNS Worldwide Holdings berhad (Worldwide Holdings) bernilai RM150 juta kepada sebuah syarikat tidak dinamakan yang mempunyai dua pemegang saham bukan Bumiputera.

Letak Jawatan 
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu dan pelik mengapa dua pemegang saham berkenaan yang juga pengarah syarikat itu meletak jawatan sebelum jawatan tersebut diisi pegawai PKNS. "Saya terima maklumat perbincangan sudah dijalankan untuk saham (Worlwide Holdings) bernilai RM150 juta dijual kepada syarikat itu. Berdasarkan pecarian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 14 November lalu, maklumat yang saya terima sejajar dengan (maklumat) Borang 49".

Motif Transaksi 
 "Kita tak faham motif transaksi ini, mereka gantikan pengarah syarikat itu dengan pegawai tertinggi PKNS, tapi saham syarikat berkenaan masih dipegang bekas pengarah bukan bumiputera itu...ini menimbulkan persoalan," katanya kepada pemberita pada Majlis Berkhatan Beramai-ramai di Dewan Dato' Hormat di sini semalam.

Noh berkata, Khalid yang juga Pengerusi PKNS perlu bertanggungjawab dan menjelaskan isu berkenaan kerana hanya beliau sahaja yang tahu perkara sebenar.

Sabtu, 17 November 2012

2,000 ibu tunggal fail saman


Kira-kira 2,000 ibu tunggal dijangka memfailkan saman terhadap kerajaan Selangor bagi menuntut elaun ibu tunggal seperti dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).

Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor, Mortini Kasman, berkata pihaknya sudah melantik Tetuan Kamaruddin & Partners mewakili mereka untuk memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Khamis ini.

Kita akan memperjuangkan apa yang sudah dijanjikan. Kerajaan Selangor di bawah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu menepati janji pada pilihan raya lalu untuk memberi elaun kepada ibu tunggal, katanya selepas majlis Sepetang Bersama Ibu Tunggal di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Beranang, di sini, semalam.

Majlis dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz.

Mortini yang juga Naib Presiden Persatuan Ibu Tunggal Malaysia, berkata pihaknya juga akan mengadakan satu demonstrasi 23 November ini di depan Bangunan SUK di Shah Alam bagi menuntut Khalid menunaikan janji manifesto pilihan raya umum lalu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd Ali Baharom yang turut hadir pada majlis berkenaan, meminta balu tentera supaya turut serta dalam demonstrasi terbabit Jumaat ini bagi menuntut elaun ibu tunggal.

Selasa, 13 November 2012

Noh persoal tindakan ambil tanah Yayasan Selangor

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar mempersoalkan tindakan dan tujuan kerajaan Selangor mengambil tanah milik Yayasan Selangor seluas 7.32 hektar di Klang.

"Saya tidak faham mengapa kerajaan negeri rampas tanah itu daripada Yayasan Selangor... kita terima ia gagal dibangunkan seperti perjanjian yang dibuat namun tanah berkenaan tidak sepatutnya diambil.


Beliau berkata, alasan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa tanah berkenaan diambil alih oleh kerajaan negeri itu ekoran kegagalan sebuah syarikat membangunkannya, adalah tidak wajar kerana ia sepatutnya diberikan kepada Yayasan Selangor.

"Abdul Khalid selaku pengerusi yayasan itu sepatutnya lebih peka dan faham bahawa tanah berkenaan tetap milik Yayasan Selangor dan tidak sepatutnya dirampas oleh sesiapa termasuk kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) Negeri Selangor 2012 di Dataran Banting di sini hari ini.

Noh mendakwa Yayasan Selangor masih menjadi pemilik asal seperti yang tercatat dalam geran tanah berkenaan malah yayasan itu juga yang membuat bayaran premium tanah sebelum ini.

Semalam, Abdul Khalid dalam satu sidang media, memperjelaskan bahawa  tanah tersebut bukan lagi di bawah kuasa Yayasan Selangor kerana ia telah diserahkan kepada sebuah syarikat persendirian pada 2002 oleh kerajaan negeri BN.

Beliau menafikan dakwaan kononnya tanah tersebut akan dibangunkan sebagai Pusat Kebudayaan Cina.

Beliau berkata, buat masa ini lot tanah itu masih kosong dan pihaknya belum terfikir untuk melaksanakan sebarang projek pembangunan di situ.

Selasa, 6 November 2012

Sultan Selangor kesal kenyataan Nurul Izzah.


Tindakan Naib Presiden PKR boleh pesong fahaman umat Islam

Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa terkejut dan kesal dengan kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bahawa masyarakat Melayu tidak perlu dipaksa untuk menerima sebarang agama.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Azib Mohd Isa, berkata baginda menolak sama sekali sebarang pandangan daripada mana-mana pihak bahawa orang Melayu beragama Islam mempunyai kebebasan untuk memilih agama lain dan keluar agama Islam.

“Islam adalah salah satu syarat yang menentukan status sebagai seorang Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan.



 Amat bahaya

“Oleh itu, pemikiran liberalisme dan pluralisme ini amat bahaya kerana akan menghakis hak kedudukan dan keistimewaan orang Melayu yang sedia termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mohamad Azib berkata, Sultan sebagai Ketua Agama Islam Selangor serta pelindung hak dan kepentingan bangsa Melayu juga menitahkan soal berkaitan agama Islam jangan dipolemikkan dan dijadikan modal politik untuk kepentingan pihak tertentu.

Tindakan itu, titah baginda boleh mengelirukan dan memesongkan fahaman umat Islam berkaitan agama Islam.

Mohamad Azib berkata, sebagai penasihat Sultan Selangor, MAIS akan terus bertegas dalam membantu baginda untuk bersikap waspada, peka dan tegas terhadap mana-mana pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung, mencabar kemurnian agama Islam, baik daripada segi fahaman mahupun amalan, khususnya di Selangor.