sayangi selangor

sayangi selangor

Di sini lahirnya sebuah cinta...

Selasa, 27 November 2012

Semua Jentera UMNO Dituntut Kerja Keras.



 Sebahagian perwakilan mendengar dengan tekun pada Majlis Taklimat Presiden sempena 
                                                   Perhimpunan Agung UMNO 2012 di PWTC, semalam


KUALA LUMPUR 27 Nov. - Seluruh jentera UMNO diminta mengambil motivasi daripada lapan kemenangan dalam pilihan raya kecil terakhir untuk bekerja lebih kuat bagi meraih sekuat mungkin sokongan rakyat supaya kemenangan dua pertiga berada dalam genggaman Barisan Nasional (BN).

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, perkara itu ditekankan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa beliau menyampaikan taklimat kepada para perwakilan UMNO sempena perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Katanya, kemenangan selepas beliau mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan negara itu jelas membuktikan rakyat kembali memihak kepada BN dan momentum itu seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh seluruh jentera parti bagi memastikan kerajaan kembali memerintah dengan lebih kuat.

"Secara keseluruhannya Presiden mahu semua pihak bekerja lebih keras dan tidak hanya mula bekerja selepas Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan kerana jika pendekatan sama dibuat, sukar untuk kita mencapai sasaran. Beliau mahu semua jentera berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya.

"Ini kerana rekod kemenangan dalam lapan pilihan raya kecil lalu jelas membuktikan UMNO kekal relevan dan mendapat kepercayaan rakyat untuk terus menjadi parti tunjang kepada pemerintah BN. Ini juga bukti kita boleh menang jika semua jentera bergerak, bersatu dan bersungguh-sungguh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, semua jentera parti juga tidak boleh sesekali meminggirkan pengundi daripada kaum lain berikutan ahli UMNO hanya berjumlah 3.2 juta berbanding keseluruhan 13 juta pengundi serta mengingatkan seluruh perwakilan bersatu di bawah pucuk pimpinan dan tidak melakukan sebarang perbuatan sabotaj yang hanya merugikan parti.

"Beliau turut menekankan soal muka-muka baharu dan meminta mereka yang sudah lama menjadi calon memberi laluan kepada pemimpin muda supaya kesinambungan legasi kepimpinan UMNO sentiasa berterusan untuk terus memimpin negara ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Presiden mengarahkan pemimpin dan ahli UMNO mempertingkatkan persiapan ke tahap optimum dalam menghadapi pilihan raya umum dengan mendekati pengundi secara bersepadu menerusi kaedah 'menyerang' bagi memastikan BN kekal mentadbir negara.

Katanya, Najib mahu semua ahli UMNO lebih agresif berdepan pengundi dengan meyakinkan mereka perjuangan BN adalah jauh lebih baik daripada pembangkang.

"Antara ayat yang ditegaskan beliau ialah untuk pertahankan kedudukan di peringkat nasional kita perlu 'serang' iaitu berjumpa dengan rakyat dan meyakinkan mereka visi serta hala tuju kita lebih baik daripada pembangkang," katanya selepas menghadiri Majlis Taklimat Presiden UMNO itu.

Menurut Khairy, ahli parti juga diingatkan mempunyai semangat tinggi, tidak sabotaj dan menerima keputusan pucuk kepimpinan dalam menentukan calon pilihan raya umum akan datang dengan terbuka.

Ditanya apakah Najib memberi gambaran bilakah pilihan raya umum akan datang bakal diadakan, Khairy hanya mengangkat bahu sambil tersenyum tanpa menjawab soalan itu.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula berkata, isu sabotaj menjadi peringatan utama Najib memandangkan tindakan tersebut paling hebat pernah berlaku terhadap parti ketika menghadapi pilihan raya umum lalu.

Jelasnya, tindakan ahli-ahli mensabotaj rakan-rakan terutama mereka yang tercalon dalam pilihan raya meletakkan UMNO dan BN dalam bahaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan