Di mana Anwar Ibrahim ketika umat Islam negara ini
mengadakan demonstrasi secara aman bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman
Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza baru-baru ini?
ANWAR telah menyatakan dalam The Wall Street Journal yang
berbunyi, "I support all efforts to protect the security of the state of
Israel" ("Saya sokong semua usaha untuk melindungi keselamatan Negara
Israel.")
Sejak Israel didirikan di atas wilayah milik orang Palestin,
Israel menjelaskan dan mempertahankan segala tindakannya ke atas rakyat
Palestin dan wilayah Palestin sebagai usaha untuk melindungi keselamatan
Israel.
Antara tindakan Israel yang didakwa olehnya sebagai
melindungi, mempertahan dan menyelamatkan Israel ialah:
* Membunuh beramai-ramai Arab Palestin seperti di Deir
Yassin supaya Arab Palestin keluar dari wilayah yang dihadiah oleh British
kepada Zionis untuk menjadi negara mereka.
* Tidak membenar orang Palestin yang dihalau keluar ini
kembali ke wilayah yang dikuasai Israel.
* Menembak dan membunuh penyertaan intifada yang membaling
batu, termasuk kanak-kanak.
* Memperluaskan wilayah Israel melalui serangan ketenteraan.
* Membina beratus settlement (penempatan) Yahudi di atas
wilayah Palestin.
* Membekal pemastautin Yahudi dalam settlement ini dengan
senjata untuk mempertahan settlement.
* Mengadakan beratus road block untuk menghalang perjalanan
orang Palestin dalam kawasan orang Palestin.
* Melambatkan proses membenar rakyat Palestin berjalan
sehingga yang sakit tidak sempat ke hospital dan yang mengandung melahirkan
anak di road block. Anak kerap mati dan ibu berdarah sehingga meninggal dunia.
* Membedil kawasan Palestin tanpa sebab supaya Arab Palestin
tinggalkan wilayah mereka dan Palestin, kemudian dimiliki sepenuhnya oleh
Israel.
* Menembak roket untuk membunuh seorang pesakit di atas
kerusi roda dan seorang pemimpin Hamas di Gaza.
* Mengepung kem pelarian Shatilla di Lebanon dan mengarah
tentera selatan Lebanon yang terdiri daripada orang Kristian untuk membunuh
2,500 pelarian Palestin. Satu daripada pelarian Palestin yang terselamat
menceritakan kepada Suruhanjaya Pengadilan Palestin yang diadakan di Kuala
Lumpur pada 21 November 2012 bagaimana askar memasukkan semua ahli keluarganya
ke dalam rumah, kemudian mengarah orang lelaki keluar dan berdiri menghadap
dinding rumah dan mereka ditembak mati, termasuk bapanya dan suaminya. 28 ahli
keluarganya ditembak mati sebegini.
* Menghancurkan kampung Jenin dengan serangan bersenjata dan
jentolak untuk robohkan rumah dengan penduduk masih berada di dalam.
* Membedil dan menyerang Genting Gaza sehingga musnah
hospital dan sekolah pada 2006. Seorang wanita Amerika yang menghalang jentolak
daripada memusnahkan sebuah rumah, dilanggar dan digelek hingga mati wanita
berkenaan. Mahkamah Israel mendapati askar yang memandu jentolak itu tidak
bersalah.
* Menyekat kapal-kapal yang membawa ubat, makanan dan bahan
binaan daripada menghampiri Gaza. Dua kapal milik Perdana Global Peace
Foundation dan sebuah kapal Turki diserang di perairan antarabangsa. Sembilan
orang pekerja amal Turki yang berada di atas kapal Mavi Marmara ditembak mati.
* Sekatan ke atas Gaza dikenakan sehingga sekarang walaupun
ia haram dari segi undang-undang antarabangsa.
* Baru-baru ini Israel melancar roket untuk membunuh seorang
ketua Hamas. Apabila Gaza melancar serangan balas dengan roket, Israel membalas
dengan melancar roket dan bom ke atas Gaza. Seramai 160 orang terbunuh kerana
tindakan Israel.
Semua ini dan keganasan lain lagi didakwa oleh Kerajaan
Israel adalah untuk keselamatan (sekuriti) Israel.
Semua ini, mengikut Anwar Ibrahim disokong olehnya kerana
semua ini adalah "efforts to protect the security of Israel" (usaha
untuk melindungi keselamatan Israel).
Apa lagi bukti yang dikehendaki oleh ahli Parti Keadilan
Rakyat dan Pas untuk tidak mempercayai yang Anwar Ibrahim adalah penyokong
Israel.
Menyokong Anwar samalah dengan menyokong Israel. Orang ini
berlagak sebagai pejuang Islam untuk sokongan penyokong Pas.
Tetapi untuk menjadi Perdana Menteri, menyertai UMNO dan
mengutuk Pas. Kemudian apabila digugur oleh UMNO, menyokong Pas semula.
Orang yang mudah melompat dari parti ke parti, tidak sukar
lompat dari Palestin ke Israel, dari Islam ke Yahudi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan