sayangi selangor

sayangi selangor

Di sini lahirnya sebuah cinta...

Ahad, 16 Disember 2012

Pasang Sistem Pengesan Vesel.


Tanjong Karang 14/12/2012.  Kerajaan merancang untuk mewajibkan semua nelayan Zon B di seluruh negara memasang Sistem Pengesan Vesel (VTS) pada tahun depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, langkah itu adalah salah satu usaha kementerian untuk menyelesaikan masalah pencerobohan nelayan zon tersebut ke kawasan tangkapan nelayan Zon A iaitu melibatkan perairan kurang lima batu nautika dari pantai.

Kata beliau, pihaknya menerima banyak aduan daripada nelayan Zon A di seluruh negara mengenai masalah tersebut kerana pencerobohan nelayan Zon B boleh menjejaskan pendapatan nelayan terbabit.

''Pencerobohan nelayan Zon B turut menyalahi peraturan selain syarat-syarat lesen yang ditetapkan iaitu nelayan bagi zon berkenaan harus menjalankan aktiviti mereka di perairan melebihi lima batu nautika dari pantai.

''Buat masa ini, kita dalam peringkat kajian mendalam untuk mewajibkan pemasangan sistem ini kepada nelayan Zon B," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Agro-Tourism LKIM dan Pasar Nelayan di Kampung Sungai Yu membabitkan kos pembinaan keseluruhan hampir RM1 juta di sini hari ini.

Noh berkata, sebelum ini penguatkuasaan untuk menangani masalah pencerobohan tersebut dilakukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) namun kegiatan tersebut masih berlaku.

''Sebab itu kita merangka untuk mewajibkan sistem pengesan kepada nelayan Zon B. Pada masa sama, kementerian berusaha mendapatkan peruntukan dan kita jangka akan laksanakan sistem itu tahun depan, " katanya.


Terdahulu, Noh yang juga Ali Parlimen Tanjong Karang turut menyampaikan bantuan sara hidup kepada 1,010 orang nelayan di kawasan Kuala Selangor sebanyak RM200 setiap seorang.

Beliau berkata, tahun ini kementerian telah menerima tambahan peruntukan khas sebanyak RM36.5 juta bagi membina 193 buah jeti dan 112 pelantar nelayan di seluruh negara.

Katanya, tambahan peruntukan itu adalah yang kedua diberikan Kerajaan Pusat untuk membantu nelayan di negara ini selepas peruntukan pertama sebanyak RM50 juta disalurkan bagi tujuan yang sama pada 2010.

''Peruntukan ini adalah usaha Kerajaan Pusat untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada golongan nelayan selain meningkatkan hasil pendapatan mereka termasuklah industri perikanan negara," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan