sayangi selangor

sayangi selangor

Di sini lahirnya sebuah cinta...

Ahad, 6 Januari 2013

Rakyat Selangor Terus Jadi Mangsa.




TANJONG KARANG 4 Jan. - Barisan Nasional (BN) mengecam pentadbiran pakatan pembangkang di Selangor kerana dilihat gagal melaksanakan pentadbiran yang baik selain berterusan menyusahkan rakyat di negeri ini.

Terbaharu, BN negeri menerima aduan daripada 193 orang penduduk Kampung Seri Tiram Jaya, di sini yang mendakwa telah dianiaya oleh kerajaan negeri dalam soal pemberian geran tanah.

Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, kesemua mereka yang terlibat itu merupakan penerima tanah daripada kerajaan negeri yang mana permohonan mereka telah diluluskan ketika pentadbiran Selangor di bawah BN sebelum ini melibatkan keluasan keseluruhan kira-kira 80.9 hektar.

Katanya, tanah berstatus pertanian itu sebelum ini dipohon oleh penduduk kampung terbabit untuk menjalankan aktiviti penanaman kelapa sawit.

Menurutnya, penduduk yang terlibat telah pun memohon untuk mendapatkan geran tanah masing-masing pada 2004, malangnya sehingga hari ini tiada sebarang geran yang diberikan kepada mereka.

"Penduduk kampung yang terlibat ini juga membayar premium tanah mereka sejak 2008 kepada kerajaan negeri.

"Soalnya kenapa sehingga kini kerajaan negeri enggan memberikan geran tanah mereka. Apakah kerana tanah tersebut diluluskan permohonannya ketika pentadbiran BN atau pentadbiran negeri di bawah pakatan pembangkang gagal melaksanakan tadbir urus yang baik kepada rakyat," katanya ketika mengadakan lawatan ke Kampung Seri Tiram Jaya di sini hari ini.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani tidak menolak kemungkinan keadaan itu berpunca daripada kelemahan kerajaan negeri menguruskan pentadbiran selain lebih mengutamakan soal politik daripada menyelesaikan masalah rakyat.

Sementara itu, seorang pemilik tanah di kawasan terbabit, Mohd. Tahrir Mustar, 59, ketika ditemui menyatakan rasa kesalnya terhadap kerajaan negeri yang didakwa tidak berusaha menyelesaikan masalah dihadapi mereka sejak sekian lama.

Katanya, permohonan tanah itu adalah berdasarkan peraturan kerajaan negeri dengan pembayaran premium tanah RM356 bagi setiap 0.4 hektar telah dibuat kepada Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Kuala Selangor.

"Kegagalan kerajaan negeri mengeluarkan geran memberi kesan kepada kami untuk mengusahakan aktiviti pertanian.

"Kami cuma penduduk kampung dan pendapatan kami bukanlah tinggi. Kami harap kerajaan negeri dapat memahami masalah dihadapi kerana perkara ini sudah lama berlanjutan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Noh menyatakan isu tanah penduduk Kampung Seri Tiram Jaya itu merupakan sebahagian daripada rintihan rakyat di negeri ini ekoran sikap kerajaan negeri yang dilihat seperti suka 'bermain kuasa' untuk kepentingan politik semata-mata.

Keadaan itu katanya, sama seperti isu bekalan air bersih yang dihadapi rakyat negeri ini apabila kerajaan negeri sering kali menyalahkan pihak lain daripada menyelesaikan masalah dihadapi.

Tegasnya, beliau difahamkan, kerajaan negeri menerima peruntukan kira-kira RM300 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek mitigasi bagi menangani masalah bekalan air bersih di negeri ini.

"Bagaimanapun, masalah bekalan air bersih ini tidak juga dapat diselesaikan. Malah, apabila berlaku masalah tersebut, kerajaan negeri seperti biasa menyalahkan pihak lain sebagai punca kepada gangguan bekalan air bersih dihadapi.

"Apakah kerajaan negeri merasakan tindakan tuding-menuding jari ini akan menyelesaikan masalah bekalan air bersih di Selangor," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan