sayangi selangor

sayangi selangor

Di sini lahirnya sebuah cinta...

Khamis, 5 November 2015

DAP TEKAN PAS UNTUK JAGA AMANAH


Tindakan DAP memberi tekanan berterusan terhadap bekas rakan pakatannya, Pas adalah untuk menjaga parti serpihan Pas, Parti Amanah Negara (Amanah) kata bekas Timbalan Pesuruhjaya Selangor, Sallehen Mukhyi.
Kata Sallehen, tindakan DAP itu untuk memburukkan Pas selepas melihat sokongan terhadap parti itu tidak hilang walaupun tidak berada di dalam Pakatan Harapan.

“Pada saya, suasana atau tindakan politik yang nampak agak brutal dari DAP menggambarkan kebimbangan DAP terhadap sokongan rakyat kepada Pas.

“Boleh jadi ia modal DAP untuk jaga Amanah. Mungkin beberapa kenyataan itu bukan untuk DAP semata tetapi untuk jaga Amanah,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dun Selangor di sini.

Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong ketika berucap dalam Konvesyen Tahunan DAP Selangor di Petaling Jaya baru-baru ini mengugut DAP akan keluar daripada kerajaan negeri jika Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali tidak memecat Pas.

Mengulas lanjut perkara itu, Adun Sabak itu meminta DAP tidak lagi mencampuri urusan dalaman Pas kerana kedua-dua parti itu sudah tidak ada lagi hubungan politik.

“Terserah kepada Pas untuk memikirkan apa sahaja bentuk tindakan politik sebab Pas sudah tidak bersama dengan DAP.

“Dalam konteks Selangor kita tidak perlukan apa-apa pandangan daripada DAP untuk kita keluar atau tidak.

“Dalam urus tadbir pada saya setuju untuk MB terus kekalkan DAP. Bahkan Pas tidak minta DAP keluar dari urus tadbir kerajaan negeri walaupun kita tiada hubungan. Ini demi masalah rakyat, soal politik biarkan,” katanya.

Sementara itu, Adun Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim berpendapat tiada keperluan untuk Pas keluar daripada kerajaan negeri kerana keadaan kerajaan dan politik masih baik.

Jelasnya, ucapan perwakilan tersebut tidak mencerminkan pendirian pimpinan pusat DAP dan pimpinan DAP Selangor.

“Saya telah menjawab serta-merta hujah beliau ketika menggulung perbahasan persidangan DAP Selangor. Pada kami tiada isu buat masa ini.

“Tidak ada sebab mana-mana parti perlu keluar kerana ketiga-tiga parti terikat dengan manifesto PRU-13. Kita terikat sebab dah janji, jika diberi peluang untuk mentadbir selama lima tahun, ini yang akan kita lakukan.

“Dalam keadaan kerajaan negeri masih ditadbir dengan baik, keadaan politik masih stabil, keyakinan terhadap kerajaan masih kuat, tidak ada sebab munasabah untuk melakukan sesuatu yang mendadak".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan