sayangi selangor

sayangi selangor

Di sini lahirnya sebuah cinta...

Isnin, 9 November 2015

Anak Mb Selangor Dikehendaki Polis. Polis Minta Azmin Tidak Persoal Tindakan Panggil Anaknya.


Polis meminta Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali tidak menjadikan alasan peperiksaan bagi mempersoalkan tindakan polis memanggil anaknya untuk direkodkan keterangan berhubung pembabitan dalam perhimpunan Bersih.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa, berkata anak lelaki Mohamed Azmin sebenarnya dipanggil untuk memberi keterangan sejak Julai lalu, namun gagal memberikan kerjasama.

Beliau menjelaskan polis pada awalnya hanya memaklumkan kepada pelajar berusia 15 tahun itu melalui panggilan telefon untuk hadir memberi keterangan bagi mengelak sebarang kekecohan.

"Kita buat begitu untuk mengelak kekecohan tetapi setelah lebih tiga bulan, dia tetap tidak hadir ke balai, memaksa polis mengeluarkan notis arahan menghadiri penyiasatan di bawah Seksyen 111, Kanun Acara Jenayah.

"Maknanya, polis memberikan begitu banyak masa, malah beliau sebenarnya boleh memilih untuk hadir memberikan keterangan lebih awal tanpa menunggu notis dikeluarkan," katanya mengulas rungutan Mohamed Azmin berhubung notis yang meminta anaknya hadir memberikan keterangan di balai polis walaupun perlu menduduki peperiksaan akhir tahun.

Tajuddin ditemui selepas menghadiri majlis serah terima tugas pengurusan bencana negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) kepada Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) WPKL di sini, hari ini.

Menurut notis itu, anak Mohamed Azmin dikehendaki hadir 10 pagi hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi direkodkan keterangan berhubung penglibatannya dalam perhimpunan Bersih.

Tajuddin berkata, berdasarkan tempoh masa yang diberikan, beliau percaya isu peperiksaan sengaja ditimbulkan bagi mewujudkan prasangka negatif terhadap tindakan polis itu.

Semalam, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR menerusi laman sosial Twitternya memuat naik status menyatakan anak lelakinya itu dipanggil polis bagi direkodkan keterangan hari ini kerana terlibat di dalam perhimpunan berkenaan.

Mohamed Azmin juga dilaporkan berkata bahawa anak lelakinya akan menduduki semua kertas peperiksaan akhirnya yang bermula hari ini sehingga Jumaat terlebih dahulu sebelum memberi sebarang keterangan kepada polis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan