sayangi selangor

sayangi selangor

Di sini lahirnya sebuah cinta...

Sabtu, 6 Oktober 2012

Projek UiTM Serendah diteruskan

Datuk Seri Hj Noh Bin Hj Omar (kanan) beramah mesra dengan peniaga-peniaga di Pasar Nelayan Kampung Sungai Yu 
sewaktu melawat jeti nelayan di kampung itu di Kuala Selangor semalam.
TANJONG KARANG 05/10/2012. - Kabinet bersetuju untuk meneruskan cadangan pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di atas tanah milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) di Serendah, Hulu Selangor dekat sini yang sebelum ini dirampas kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.
 
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata, persetujuan itu dicapai sehari selepas dibangkitkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sesi dialog bersama pemimpin belia di UiTM Shah Alam semalam.

Keputusan ini menunjukkan kerajaan Persekutuan menepati janji dan mahu peluang pendidikan diberikan kepada anak Selangor," kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu kepada pemberita selepas melawat Jeti Nelayan Sungai Yu, Tanjong Karang di sini.

Dalam pada itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang menambah, kos peruntukan pembinaan dan pelaksanaan cawangan UiTM itu akan diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi dalam masa terdekat.

"Kerajaan Persekutuan terpaksa mencari peruntukan baharu untuk pembinaan tersebut memandangkan yang ada telah digunakan untuk cawangan UiTM di Melaka.

"Saya berharap kerajaan negeri tidak terlalu mempolitikkan isu ini lagi kerana rakyat amat memerlukan kampus ini. Apabila projek dilaksanakan nanti, kerajaan negeri diminta memberi kerjasama dan jangan mencari alasan lagi," katanya.

Baru-baru ini, Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) mendapat kembali hak milik tanah seluas 318.8 hektar di Serendah selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan tindakan kerajaan negeri memulangkan cukai tanah dan merampas tanah terbabit sebelum ini tidak sah di sisi undang-undang.

Rayuan yang dibuat YBK diterima Hakim Mahkamah Tinggi, Hadhariah Said Ismail selepas meneliti hujah bertulis dan mendengar hujah lisan daripada kedua-dua peguam YBK dan kerajaan negeri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan