Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan hanya
penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sahaja layak menerima dan
membeli beras Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15) dalam usaha
mengelakkan ketirisan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar
berkata, selain cadangan hanya membenarkan penerima BR1M sahaja layak
membeli beras ST15, kerajaan juga sedang mengkaji kesesuaian membayar terus subsidi tersebut kepada mereka.
Katanya, buat masa ini berlaku ketirisan sehingga 40,000 tan beras
ST15 dikeluarkan setiap bulan membabitkan kos RM42 juta sedangkan
berdasarkan kajian, keperluan untuk penduduk miskin hanyalah 6,000 tan.
"Kita sedang mengkaji cadangan agar menggunakan senarai nama penerima
BR1M untuk pembelian beras ST15. Penerima BR1M seramai 3.8 juta dan
mungkin bertambah kepada empat juta untuk tahun depan. Peruntukan untuk
subsidi beras ST15 pula RM44 juta.
"Jika kita nak buat boleh. Kita boleh bagi macam itu. Kerajaan juga
sedang kaji kesesuaian untuk bagi RM10 sebulan subsidi kepada penerima
BR1M ini untuk beli beras, jadi keseluruhan jumlahnya hampir menyamai
RM44 juta jika mengambil kira penerima BR1M tahun depan.
"Tapi kita kena tengok keberkesanan sama ada sesuai atau tidak. Jika
diambil kira berdasarkan jumlah, memang kita mampu mengatasi ketirisan,"
katanya semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa, Rang
Undang-Undang Perbekalan 2013, kementerian itu hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan juga mempertimbangkan
beberapa cadangan lain, antaranya menjadikan beras ST15 sebagai barang
kawalan atau memansuhkan terus beras tersebut jika terbukti langkah
berkenaan lebih baik.
Mengulas tentang kekurangan bekalan lembu untuk ibadah korban yang
menjadi rungutan banyak pihak pada sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini
disebabkan peraturan ketat dasar eksport Australia, beliau berkata,
kerajaan prihatin berhubung perkara itu.
Katanya, sebanyak 2,000 ekor lembu tambahan disalurkan melalui
kerjasama dengan Felda, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan
Getah (RISDA) dan Felcra Berhad (Felcra).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan