Seramai 711 pengguna air Selangor, dilihat sebagai tindakan kali pertama, memfailkan saman menuntut ganti rugi sebanyak RM405,270 daripada Kerajaan Negeri Selangor berhubung tunggakan air percuma, yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2008.
Saman itu difailkan oleh Tetuan Kamarudin dan Partners melalui peguam Kamarudin Ahmad di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, jam 9.30 pagi.
Dalam saman itu, plaintif menamakan Kerajaan Selangor sebagai defenden pertama; Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) masing-masing defenden kedua dan ketiga.
Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat menyediakan air percuma kepada penduduk negeri itu di bawah janji manifesto pilihan raya umum lalu.
Sahari Basri mewakili semua pengguna air selaku plaintif.
Kamarudin berkata, pihaknya turut memohon satu perintah injunksi mandatori supaya syarikat Bekalan Air mengeluarkan bil-bil air dengan potongan seperti dijanjikan.
“Pihak kita akan menyerahkan saman ini kepada semua defendan dalam tempoh seminggu,” katanya.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Sahari mendakwa mereka tidak menerima subsidi air percuma di bawah Skim Air Percuma yang dilaksanakan defendan sebagaimana yang dijanjikan bagi pengguna air 20 meter padu pertama setiap bulan.
Menurutnya, mereka tidak menerima subsidi air di bawah skim itu kerana tiada sebarang potongan pada bil dikeluarkan Syabas.
“Syabas sepatutnya membuat potongan RM11.40 sebulan jika pengguna menggunakan air 20 meter padu setiap bulan.
Dalam penyata tuntutan, kesemua 711 pengguna air itu mendakwa semasa kempen pilihan raya pada Mac 2008, rakyat di negeri Selangor dijanjikan mendapat air percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan kepada pengguna domestik.
Plaintif mendakwa berdasarkan manifesto semasa kempen, setiap pengguna air domestik di Selangor yang mempunyai akaun dengan Syabas layak menerima subsidi RM11.40 sebulan tidak kira sama ada menggunakan meter individu atau meter pukal.
Mereka mendakwa selepas memenangi pilihan raya kerajaan negeri Selangor telah memulakan skim air percuma tersebut pada 1 Jun 2008.
Bagaimanapun, plaintif mendakwa, mereka tidak menerima subsidi air percuma tersebut dan mendapati tiada sebarang potongan meter padu pertama ke atas bil air mereka yang dikeluarkan oleh Syabas.
Plaintif mendakwa Abdul Khalid melalui kenyataan akhbar 30 Ogos lalu berkata bahawa pengguna air yang masih memakai meter pukal tidak layak menikmati skim subsidi air percuma itu.
Plaintif mendakwa Syabas seharusnya menukar meter mereka memandangkan kerajaan Selangor mengarahkan Syabas membuat penukaran meter individu kepada mereka sejak 2007 tetapi gagal berbuat demikian.
Mereka mendakwa dengan kegagalan itu mereka tidak seharusnya dipersalahkan selain dinafikan pula hak menikmati subsidi air percuma serta menanggung kerugian.
Mereka juga menuntut deklarasi bahawa Skim Air Percuma yang dijanjikan kerajaan Selangor merangkumi semua pengguna air di negeri itu tidak kira sama ada pengguna meter pukal atau individu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan