sayangi selangor

sayangi selangor

Di sini lahirnya sebuah cinta...

Khamis, 14 Jun 2012

Kerajaan Negeri Selangor diingat jangan jual aset Unisel.


Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor diingatkan tidak menjadikan isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai alasan bagi menjual aset Universiti Selangor (Unisel) yang bernilai RM30 juta. 

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihaknya juga sangsi dengan cadangan kerajaan negeri yang mahu mencairkan aset tersebut bagi memastikan janji parti pembangkang memberi pendidikan percuma dapat dilaksanakan.

"Sebenarnya tujuan kerajaan negeri hendak mencairkan harta Unisel bukan kerana mereka ikhlas untuk memberi pendidikan percuma kepada pelajar tetapi mereka memang mempunyai niat hendak menjual tanah berkenaan bagi membayar hutang kos pentadbiran Unisel.

"Jika benar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ikhlas ingin memberi pendidikan tinggi terbaik kepada rakyat Selangor, beliau sepatutnya meneruskan projek membina Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dicadangkan di Serendah yang akhirnya dipindahkan ke Melaka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Ceramah Isu Semasa bersama kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, di sini malam tadi.

Laporan akhbar sebelum ini menyebut kerajaan negeri memutuskan untuk mengapungkan aset milik Unisel yang dianggar bernilai RM30 juta di pasaran bagi menampung kos pengajian pelajar Unisel.

Noh berkata, sebelum Abdul Khalid bercakap soal pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi, lebih baik kerajaan negeri menyelesaikan masalah pelajar asrama Yayasan Selangor di Kampung Pandan, Kuala Lumpur yang masih belajar di sekolah menengah.

"Jika benar kerajaan negeri ingin membantu pendidikan rakyat, mereka sepatutnya membela nasib pelajar bermula peringkat pendidikan rendah dan menengah.

"Daripada bercakap soal pengajian tinggi, lebih baik kerajaan negeri menanggung kos penempatan dan pengajian 135 anak Selangor di asrama Yayasan Selangor yang akan hilang tempat berteduh setelah bangunan tersebut dibangunkan untuk projek komersial," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan