sayangi selangor

sayangi selangor

Di sini lahirnya sebuah cinta...

Rabu, 27 Jun 2012

Kariah Tidak Puas Hati - Datuk Seri Hj Noh Omar.



TANJONG KARANG 26/06/2012 - Badan Perhubungan UMNO negeri menyelar tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang disifatkan cuba menjadikan masjid sebagai medan untuk memperluaskan pengaruh politik mereka di negeri ini.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Hj Noh Bin Hj Omar berkata, tindakan itu dibuat menerusi pelaksanaan pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang tidak mengikut prosedur serta bercanggah dengan prinsip demokrasi.

Beliau dimaklumkan terdapat kariah di beberapa buah masjid di negeri itu yang tidak berpuas hati terhadap kerajaan negeri kerana tidak melantik AJK yang telah dipilih oleh mereka menerusi proses pemilihan seperti yang diarahkan oleh kerajaan negeri.

"Sebaliknya individu yang tidak dipilih pun oleh ahli kariah berkenaan telah dilantik sebagai AJK dan mereka pula ada kaitan dengan parti yang mentadbir kerajaan negeri.

"Jika keadaan itu benar-benar berlaku, ia merupakan satu penipuan kerajaan negeri terhadap rakyat. Mereka mengutamakan politik semata-mata, inilah cara demokrasi mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan komputer riba 1Malaysia untuk 975 pelajar melibatkan tujuh buah sekolah di Parlimen Tanjong Karang, di sini hari ini.

Datuk Seri Hj Noh Bin Hj Omar turut menyampaikan bantuan kewangan kepada 268 mangsa banjir dan ribut di kawasan Parlimen itu.

Datuk Seri Noh Omar yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengumumkan peruntukan RM1.9 juta untuk pembinaan benteng di kawasan Sungai Burong di sini bagi menangani masalah banjir yang kerap melanda kawasan itu setiap tahun.

Mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi laporan portal berita propembangkang hari ini yang mengajak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat, beliau berkata, ia satu tindakan yang membuang masa.

Katanya, Perdana Menteri tidak perlu berdebat dengan Anwar kerana Ketua Pembangkang itu mempunyai pendirian yang berubah-ubah mengikut kepentingan politik tertentu.
Malah, kata beliau, debat juga bukan satu kaedah yang dapat menyelesaikan masalah membabitkan kepentingan awam tetapi lebih kepada emosi semata-mata.

"Kejayaan sesebuah kerajaan bukan terletak pada debat dan forum. Sebaliknya, kejayaan sesebuah pentadbiran adalah berdasarkan perancangan yang baik untuk masa depan rakyat," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan