sayangi selangor

sayangi selangor

Di sini lahirnya sebuah cinta...

Selasa, 14 Ogos 2012

Semarak Ramadan BH 2012 tutup tirai di Tanjong Karang


Pelbagai acara meriahkan program tahun keempat

Tanjong Karang: Program Semarak Ramadan BH 2012, melabuhkan tirainya semalam di kawasan Parlimen Tanjong Karang, di sini.
Lokasi keenam ini yang melengkapkan siri kembara di seluruh negara, dimeriahkan dengan penyertaan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang.


Program meriahkan acara

Turut memeriahkan program ialah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang mengadakan Program Rembang Syawal. Acara yang masuk tahun keempat ini bermula dengan penyerahan apron Adabi Consumer dan cenderamata Semarak Ramadan BH, FAMA serta wakil penaja kepada lebih 200 peniaga Bazar Ramadan Jalan Kilang Padi.

Program diteruskan dengan majlis penyampaian sumbangan hari raya seperti beras, kurma, baju dan duit raya kepada ibu tunggal, anak yatim serta orang kelainan upaya (OKU) tajaan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dan Mohamed Meera Sahib (M) Sdn Bhd.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sungai Burung, Datuk Mohd Shamsuddin Lias; Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid; Pengarah FAMA Selangor, Mansor Omar dan Eksekutif Pemasaran Adabi, Norol Liza Zainal Abidin.
Semarak Ramadan BH sebelum ini singgah di Langkawi, Kedah; Pengkalan Pegoh, Perak; Dungun, Terengganu; Mersing, Johor dan Pantai Dalam, Kuala Lumpur.




Program kukuh hubungan

Ia mendapat pujian Noh yang mahu penyertaan sektor swasta bekerjasama dengan kerajaan dalam menyemarakkan Ramadan dipertingkatkan dalam usaha mengukuhkan perpaduan serta keharmonian masyarakat.

“Penyertaan sektor swasta terutama BH yang aktif dalam program tanggungjawab sosial adalah langkah terpuji. Kita sentiasa menggalakkan sektor swasta bekerjasama dengan kerajaan dalam program sebegini,” katanya.

Mansor pula menjelaskan, FAMA turut mengambil kesempatan daripada acara ini bagi menjalankan Program Rembang Syawal dengan menyediakan ruang perniagaan tambahan untuk aktiviti jualan keperluan menyambut Aidilfitri.

Pada majlis itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) turut mengambil kesempatan menyalurkan pelbagai bantuan kepada penduduk Parlimen Tanjung Karang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan