Usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan sokongan antarabangsa dalam kes liwatnya menunjukkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menggelabah menjelang keputusan Mahkamah Persekutuan pada akhir bulan ini.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan berkata, Anwar sepatutnya lebih tenang kerana sebelum ini mahkamah telah memberi pelbagai ruang dan peluang untuk dia mempertahankan diri sehingga perbicaraan kes liwatnya ditangguhkan puluhan kali.
Beliau turut mengingatkan Anwar bahawa keadilan bukanlah hak milik esklusifnya sehingga orang lain tidak berhak menerimanya.
"Adakah pengadu kes liwat, Mohd. Saiful Bukhari Azlan tidak berhak mendapat keadilan, biarlah mahkamah membuat kata putus.
"Tindakan Anwar yang berlari ke sana sini mendapatkan sokongan antarabangsa memberi isyarat dia seperti sudah tahu nasibnya. Jika tidak, kenapa dia menggelabah.
Beliau mengulas laporan portal berita The Sydney Morning Herald(http://www.smh.com.au) pada Jumaat lalu berhubung kritikan Anwar terhadap kerajaan Autralia berikutan pendirian negara itu yang enggan campur tangan dalam urusan kehakiman di negara ini.
Menurut laporan itu, Anwar berada di Jakarta, Indonesia untuk mendapatkan sokongan Australia menjelang rayuan terakhir kes liwat membabitkan beliau di Mahkamah Persekutuan pada 28 Oktober ini.
Dalam pada itu, Nallakaruppan memuji pendirian Australia yang enggan campur tangan dalam kes liwat Anwar dan menyifatkan negara itu telah membuat keputusan yang tepat.
"Dulu bolehlah, negara lain belum dapat maklumat yang tepat. Sekarang semua orang tahu, sebab itu saya tidak pelik dengan pendirian Australia," katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyelar tindakan Anwar yang hanya menerima keputusan mahkamah secara berpilih iaitu yang berpihak kepadanya.
Katanya, sikap itu agak 'melucukan' kerana Anwar juga galak menyaman pihak yang tidak sehaluan dengannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan